Isnin, 12 Julai 2010

Kadar kelahiran di M'sia terus merosot

Kadar kelahiran penduduk Malaysia yang menurun kepada kadar 2.2 peratus pada 2008 berbanding 2.6 peratus pada 2000 dijangka terus merosot jika faktor melengahkan perkahwinan dan sukar mengimbangi antara kerjaya dan keluarga terus berlaku.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie berkata bagi menyelesaikan masalah berkenaaan, individu memainkan peranan penting terutamanya dalam menyelesaikan isu melibatkan kehidupan berkeluarga.

"Keputusan adalah di peringkat individu sama ada nak kahwin atau tidak, nak melengahkan perkahwinan, atau mahu berapa anak dalam keluarga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar "Penduduk, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim" anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)di ibunegara hari ini.

Selain itu, kerajaan dan majikan juga perlu menyediakan sistem sokongan kepada pekerja supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik di samping dapat meluangkan masa bersama keluarga, kata Heng.

Mengenai seminar itu, Heng berkata LPPKN dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar akan meneruskan usaha untuk menjadikan isu alam sekitar dan perubahan iklim sebagai amalan hidup di kalangan penduduk terutamanya dalam institusi keluarga.

"Saya menyeru ibu bapa supaya selain memfokuskan kepada usaha memastikan anak-anak cemerlang dalam akademik, mereka juga perlu mendidik anak-anak mengamalkan konsep 3R (Kurangkan Penggunaan, Gunakan Semula dan Kitar Semula) untuk melindungi alam sekitar," katanya.

Heng turut mengingatkan semua pihak terutamanya golongan wanita supaya hanya membeli barangan yang mereka perlukan sahaja dan mengamalkan konsep guna dan kitar semula apa sahaja yang dibeli.

Masyarakat perlu bersama-sama berusaha melindungi alam sekitar dan perubahan iklim untuk mewujudkan alam sekitar yang selamat, harmoni dan mesra, katanya.

Heng memberitahu kajian daripada Earth System Science Centre, Brazil, mendapati sebanyak 10,000 manusia dilahirkan setiap jam di seluruh dunia mengakibatkan empat juta tan karbon dioksida dihasilkan.

"Dalam setiap jam 1,500 hektar hutan dipotong di seluruh dunia dan tiga spesis dilaporkan pupus setiap jam.

"Statistik ini menakutkan kita. Jika kita tidak ambil langkah untuk mengatasi dan mencegahnya, suatu hari nanti kita akan menghadapi pelbagai masalah kerana bumi adalah satu-satunya tempat tinggal kita," kata Heng.

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan